Besok Hari Krismas

Sekarang hampir jam 8.oo malam tapi saya sekarang masih di opis. Selepas baca dan ada juga delete beratus e-mel yang orang foward, teringat pasal blog saya ni. Dah lama saya tak update. Oleh kerana time kerja tak ada kesempatan untuk update, sebab banyak kerja juga. Sedar tak sedar besok sudah 25 Disember 2008 iaitu sambutan Hari Krismas. Rupa-rupanya saya sudah hampir setahun berada di bumi Sabah ini.

Walaubagaimanapun rasanya sekejap sahaja. Masa memang berlalu terlalu pantas. Saya sendiri pun terasa masih baru di bumi Sabah ni. Di sini saya masih lagi tidak ramai kawan dan kenalan. Tempat pun masih lagi banyak tidak kunjungi.

Besok adalah cuti umum. Saya telah memohon cuti pada 26/12/2008 . Saya bercadang untuk melawat tempat-tempat yang menarik di bumi Sabah ini. Dalam cadangan saya munkin akan ke Sandakan, Tawau seterusnya ke Semporna. Jika kesempatan saya akan ke Pulau Sipadan. Itu semua dalam cadangan. Belum tahu lagi tercapai atau tidak. Tengok keadaan cuaca dan sebagainya.

Yang tak bestnya saya akan melancong seorang diri jer. Tapi bagi saya tak ada masalah. Ia satu cabaran untuk saya. Jauh berjalan luas pandangan.

Apa-apa pun selamat bercuti kerana agak banyak cuti berturutan pada akhir tahun ini....

Pertama Kali Makan Buah Ajaib

Saya baru lepas merasa buah ajaib yang dibawa oleh Siti semalam. Buah ajaib ni dah lama saya dengar kelbihannya iaitu jika kita makan buah ajaib ni, kita akan rasa manis jika memakan buah yang masam. Kulitnya rasa agak masam sikit dan bijinya rasa pahit.

Mula-mula saya makan 2 biji buah ajaib tapi tak rasa pun kesannya. Masih lagi saya rasa masam bila makan buah mempelam. Lepas tu Siti suruh saya makan lagi sebiji buah ajaib tu. Kemudian saya cuba makan sekali lagi buah mempelam tu. Rupa-rupanya buah mempelam yang masam tadi dah bertukar rasa manis.

Pelik juga yer.... tapi memang betul pun... buah mempelam yang masam tu dah rasa jadi manis.

Ok la... saya tunjuk gambar buah ajaib tu...


Buah Ajaib


Pokok Ajaib

Bercuti Raya Di Kampung

---------------------Sedang dikemaskini----------------

Berpuasa pertama kali di Sabah

Puasa kali ini adalah puasa kali pertama saya di Sabah. Di sini yang paling ketara tentang suasana puasa adalah waktu berbuka dan waktu Imsak. Di sini memang berbuka awal. Hari pertama saya berbuka puasa ialah pada jam 6.24 petang . Bayangkan masa kat semenanjung jam 6.24 petang ni kira ramai lagi masih main bola di padang. Tapi di sini kita akan rasa sedikit terburu-buru sebelah petang kerana waktu kerja harian habis macam biasa,waktu berbuka puasa pula awal.

Jika balik baru nak masak buat persiapan berbuka memang tak sempat. Yang paling senang beli je. Ramai warga Kota Kinabalu ni berbuka dalam kereta sebab tak sempat sampai di rumah waktu berbuka dah sampai. Di sini jalan jam agak teruk di sebelah petang kerana tidak banyak jalan alternatif untuk ke sesuatu destinasi.

Walaubagaimanapun saya rasa berpuasa di mana-mana pun sama jer. Cuma puasa kali ini saya terasa agak kurang seronok sebab selalu berbuka sorang jer. Lepas ni munkin saya akan berbuka di surau, boleh sertai berbuka beramai-ramai.

SELAMAT BERPUASA !


31 Ogos 2008 , Merdeka ! Merdeka ! Merdeka !

Hari ni adalah hari ulang tahun kemerdekaan. Malam tadi saya ada pergi kat Padang Merdeka Kota Kinabalu untuk menyaksikan majlis sambutan hari kemerdekaan yang diberi nama "Ambang Merdeka". Yang datang pun ramai, suasana pun meriah, orang kenamaan pun turut serta. Ramai juga artis jemputan dari Kuala Lumpur datang, Mawi pun ada.. tapi saya tengok sekejap jer.. penat berdiri..

Kemudian terus balik rumah dalam jam 10.30. Sampai rumah rehat sekejap sambil baca buku. Dalam jam 11.30 saya terlena, tak sempat la nak tengok bunga api. Nak buat macam mana, badan letih, baca buku atas tilam yang empuk.. habis ler... terus lena...

Pagi ini ada perbarisan kat depan Hotel Promonade, cadang nak pergi tengok tapi rasa macam malas la pulak, baik saya tulis blog ni... kebetulan memang hari ni rasa badan kurang sihat. Nak berjalan pun rasa lemah jer. Nampaknya sambut merdeka kat bilik la hari ni...

Selamat Menyambut Hari Merdeka.. MERDEKA!... MERDEKA...!....MERDEKA!..

Kursus Orentasi

Ekspo Pekerjaan Di Tanjung Aru Plaza

Pada 16 Ogos 2008 Jabatan Tenaga Kerja(JTK) telah mengadakan Ekspo Pekerjaan di Tanjung Aru Plaza. Pihak JTK telah menjemput pihak Mahkamah sertai ekspo tersebut. Untuk program ni saya dilantik sebagai pengarah program oleh pengerusi untuk mengetuai program ini bagi pihak mahkamah. Program ni agak lewat dimaklumkan kepada pihak mahkamah menyebabkan tidak ada persiapan awal dilaksanakan. Walaubagaimanapun saya cuba melaksanakan tugas ni dengan baik.

Pada 15 Ogos 2008 saya dan Sanawiah telah menyiapkan ruangan pameran yang disediakan. Memandang tiada barang yang banyak untuk dipamerkan maka tidak menjadi masalah sangat persiapan tersebut.

Pada hari ekspo tersebut berlangsung pengunjung yang datang menggalakkan. Cuma ruangan pameran mahkamah kurang dikunjungi kerana munkin pengunjung yang datang rata-rata ingin mencari pekerjaan. Memandangkan ruang pameran mahkamah bukan untuk mencari pekerjaan maka tidak ramai yang bertanya.

Program tersebut tamat jam 5.00 petang.

Ni gambar semasa program tersebut:-


Persiapan



Perbincangan



Bersedia



Tolong Menolong



Tolong Menolong



Majlis Perasmian



Memberi penerangan Kepada KSU,
Kementerian Sumber Manusia

Tarikh 08/08/08

Ramai telah memilih tarikh 08/08/08 untuk mengabadikan pelbagai peristiwa yang bersejarah kerana tarikh ini unik. Sebenarnya saya nak bercerita lebih panjang tentang tarikh ini tapi bukan sekarang......

Video Kursus Di Tekam Sudah Siap

Setelah bersusah payah mencuri sedikit masa setiap hari untuk mengedit video semasa kursus di Tekam Resort akhirnya siap juga. Sebenarnya lambat sikit nak siap tu sebab cable Videocam tertinggal di KL, kat Kota Kinabalu ni tak ada jual cable tu. Mintak adik pos ke Kota Kinabalu, tambahan pula balik dari kursus di Tekam tu, ada lagi kursus kat Kuching seminggu dan sambung pulak pergi Miri seminggu. Lepas tu baru ada masa buat sikit-sikit .

Masa kursus hari tu saya rakam sikit aje, hasil pun sikit je la. Banyak akviti menarik tak ada dalam video seperti masa aktiviti berakit dan di padang serta masa senaman. Nak buat macam mana, saya pun peserta jugak. Kalau saya urusetia, nampaknya penuh la aktiviti saya rakam.

OK lah.. sapa-sapa nak tempah boleh buat sekarang. Senang saya nak copy berapa unit yang perlu. Video tu saya buat dalam format DVD. Kira saya ambik RM 8.00 termasuk pos sebab Video tu DVD, kalau saya buat VCD RM 5.00 pun boleh , tapi VCD kualiti video teruk la dan perlukan 2 CD. Itu sebab saya buat DVD, kualiti ok sikit dan satu CD aje. Kos pos ekpress pun dah RM4.00 - RM8.00. Masa "PLAY" lebih kurang 1 jam 25 minit.


Makluman : Kursus di Kuching dan Urusan Kerja di Miri

Saya cuma nak maklum, dalam 2 minggu saya munkin tidak dapat update blog saya dan membalas e-mel kerana pada 14hb hingga 18hb Julai saya ada di Kuching sebab ada kursus Pengurusan Aset dan sambung pula kerja di Miri 20hb hingga 25hb Julai. Apa-apa pun telefon sentiasa ON...

Kursus Motivasi Di Tekam Resort

Harap Bersabar semua...

Saya akan masukkan gambar dan video dalam blog saya ni sedikit masa nanti.. Ennnnjoooyyy...

p/s: Testing gambar je ni.. nnti banyk lagi nak upload..


Testing Bertapa Di Gua



Persedian Berangkat



Memindah Rakit Yang Dibina



Keluar Dari Gua

Ada Cubaan Mencuri

Saya nak cerita kisah malam tadi.

Dalam tidur nyenyak saya bermimpi seram. Belum ada kesudahan lagi mimpi tu saya tersedar dari tidur. Semasa saya tersedar mata saya secara automatik terus terpandang pada tingkap bilik. Saya ternampak seperti sebatang kayu dihulurkan ke dalam bilik saya. Pandangan saya kurang jelas sebab saya tidak memakai cermin mata. Tambahan pula saya baru terjaga dari tidur. Dalam keadaan keliru, saya terfikir adakah saya bermimpi atau tidak. Dalam masa itu juga kayu tersebut ditarikh keluar perlahan-lahan dari tingkap. Saya pun bangun dari katil dan terus menuju ke tepi tingkap tapi tiada apa yang saya nampak. Dalam fikiran saya munkin saya terperasan aje. Bila saya tengok kat lantai saya dapati handphone dan dompet saya terbuka berada di lantai.

Terus saya terfikir, munkin kayu yang saya nampak tadi adalah benar kerana kemunkinan ada orang cuba mengambil dompet saya. Sambil mengambil dompet dan handphone saya baru saya perasan ada satu penyangkuk dawai berada di atas lantai. Masa tu saya dah tak syak lagi. Kayu yang saya nampak tadi bukan saya bermimpi tapi ada orang cuba mengambil dompet saya melalui tingkap dengan menggunakan penyangkuk dawai. Saya mengambil penyangkuk tersebut dan simpan di sebelah katil saya.

Masa tu lah perasaan saya baru terasa cemas sikit. Saya terus berpusing-pusing mengelilingi rumah, cuba tengok mana tahu yang hendak mencuri tadi masih ada di situ. Tapi biasa lah, dalam suasana gelap gelita tak nampak apa-apa. Saya tengok jam masa tu pukul 3.58 pagi. Bila dah tengok keadaan semua OK, saya pun sambung tidur balik.

Gambar penyangkuk dawai yang tertinggal di bilik saya

Petrol Naik Lagi

Pagi-pagi datang opis bising pasal minyak naik. Macam-macam cerita ada. Baca surat khabar pun pasal minyak naik. Nak buat macam mana, petrol naik jadi RM 2.70 seliter . Tinggi juga naik kali ni. Nampaknya dah boleh kita plan sekarang, apa patut buat untuk tambah pendapatan supaya masa akan datang tak terasa susah sangat. Banyak halaman saya jumpa dan banyak membantu kita untuk merancang kewangan peribadi.

OK... salah satu halaman yang saya jumpa adalah http://www.simpanduit.com

Ke Pulau Labuan

Pada 30/05/2008 hari tu saya pergi ke Pulau Labuan. Saya sebenarnya sudah lama ingin ke Pulau Labuan tapi tiada ruang untuk ke sana.

Oleh kerana pada hari tersebut saya tidak ada apa-apa aktiviti, dengan spontan saya terlintas ingin ke Pulau Labuan. Saya berkemas sedikit barangan dan pakaian terus keluar untuk ke Jeti Jeselton membeli tiket Feri. Tiket yang awal sudah habis cuma yang ada pada jam 1.30 petang. Terpaksa la beli juga sebab dah sampai ke Jeti.

Nasib baik pernah pergi Pulau Langkawi naik Feri, sebab Feri tu tak jauh beza ngan Feri ke Pulau Langkawi. Kalau tak susah juga sebab pertama kali nak ke Pulau Labuan seorang diri. Tak ada penunjuk jalan. Main redah je lah.

Perjalanan dari Kota Kinabalu ke Pulau Labuan dengan Feri mengambil masa 3 jam setengah. Lama juga juga rupanya atas Feri. Boring sungguh. Teengok gelagat orang kat atas Feri tu je lah. Kalau orang tempatan nampak biasa je. Kita boleh cam pelancong atau orang tempatan sebab orang tempatan nampak releks je. Kalau pelancong nampak exited dan happy je dengan telatah masing-masing.

Atas Feri tu juga ada penjaja yang jual makanan ringan dan air. Tapi seronok tengok telatah penjaja tersebut sebab dia bawa air panas sekali dalam balang kalau sapa-sapa nak beli maggi segera.

Sampai di Pulau Labuan saya buat macam orang dah biasa je. Terus je berjalan masuk bandar tapi hakikatnya tak tahu pun arah mana nak pergi. Dah la hari dah hampir gelap sebab kat Sabah ni memang malam nyer awal. Saya pun berpusing-pusing la cari hotel. Ada je nampak perkataan hotel terus je masuk. Tapi tak tahu la hari tu, saya masuk 4 buah hotel semua nye penuh. Dah mula risau sebab hari dah makin gelap. Dalam fikiran mana nak tidur malam tu kalau tak ada hotel. Akhirnya dapat juga hotel di Hotel Labuan. Bilik semua penuh cuma ada satu bilik besar je yang tinggal. Terpaksa la ambil juga walaupun nak tidur sorang jer.

Lepas letak letak barang dan solat saya bersiap nak keluar. Bila sampai kat Loby rupa-rupanya hujan lebat. Nampaknya tak boleh nak ke mana-mana. Nak buat apa lagi... kat bilik tengok TV la. Cadang nak lepak kat Loby tapi kebetulan ada majlis perkahwinan Chinese kat situ. Penuh dengan orang yang hadir.

Besok pagi tu saya awal-awal lagi bersiap untuk ronda-ronda. Kebetulan pagi tu ada pasar pagi. Boleh la tengok barang-barang jualan kat situ. Bandarnya tak la besar sangat tapi padat. Harga barang-barang pun biasa jer cuma rokok dan coklat murah sikit. Orang kata arak pun murah juga kat situ tapi tak kan saya nak servey harga arak pulak.

Masa pusing-pusing tu saya ternampak kedai gunting rambut. Sempat la saya gunting rambut kat situ. Di Kota Kinabalu kedai gunting rambut sangat sikit, yang banyak adalah saloon. Maklum la tak pernah masuk saloon. Rasa pelik jer kalau nak gunting rambut kat saloon. Tu lasaya ambil peluang gunting rambut terus kat Labuan.

Selesai tu saya pergi check out hotel. Jam masa tu 12.15 pm . Saya terus ke jeti untuk beli tiket. Saya pikir tak sanggup lagi naik Feri tu sebab lama sangat. Saya buat keputusan untuk naik bot laju ke jeti Menumbok. Jam 1 lebih saya naik bot tu. Best rupanya naik bot tu sebab ia tertutup. Satu bot lapan orang penumpang. Dalam masa 20 minit dah sampai jeti menumbok. Di menumbok tu satu lagi masalah pulak. Saya bukannya biasa kat menumbok tu. Baru saya terfikir macam mana saya nak balik Kota Kinabalu.

Saya cuba-cuba la ikut penumpang tu pergi mana. Kebanyakan penumpang tu dah ada orang menunggu kat situ. Saya pulak terpaksa la menunggu kat perhentian kereta sewa. Kereta sewa kat situ tak banyak untuk ke Kota Kinabalu. Terpaksa tunggu kereta dari Kota Kinabalu hantar pelanggan kat situ. Lama betul menunggu sehingga 2 jam lebih baru ada. Kereta tu pulak pemandunya kata nak pergi ambik isterinya kat Beaufort. Kena la pergi masuk satu kampung tu kat ladang kelapa sawit. Rasanya dari jalan besar lebih 10KM baru sampai rumah mertuanya. Anaknya ada 3 orang. Terpaksa la kami meriba anaknya.

Tak lama lepas tu hujan lebat turun. Rupa-rupanya viper kereta tu rosak. Terpaksa la jalan macam kura-kura sebab tak nampak langsung jalan kat depan. Yang nampak cahaya lampu kereta depan sebagai panduan. Hampir 3 jam juga perjalanan tu baru la sampai Kota Kinabalu.

Bila dah sampai , saya balik ke rumah basuh pakaian dan berehat. Walaupun penat tapi memang seronok... kalau ada kawan-kawan masa tu mesti lagi seronok.....


Jeti Jeselton, Kota Kinabalu



Feri yang saya naik untuk ke Pulau Labuan



Suasana atas Feri



Hotel Pulau Labuan tempat saya menginap



Bot Laju yang saya naik untuk ke Menumbok

Majlis Pertunangan Dayang

Pada 11 Mei 2008, Dayang bertunang. Saya pergi rumah Dayang dengan Kak Ana bersama suaminya. Misliana dan suaminya join kami pergi sekali. Kami bertolak dalam jam 11.00 pg. Kak Ana jemput saya kat rumah. Dalam perjalanan sempat kami singgah di pekan Papar. Sempat kami ronda-ronda sekejap kat pekan Papar tu. Kemudian terus perjalanan ke Membakut, pekan kawasan Dayang tinggal. Tapi tak sempat nak ronda-ronda sebab sudah tengah hari. Kami terus ke kampung Dayang tinggal. Sampai di kampung tersebut Kak Ana sudah lupa yang mana satu rumah Dayang. Berpusing-pusing beberapa kali di tempat yang sama. Selepas Kak Ana telefon adik Dayang baru lah jumpa rumahnya. Dalam jam 2 petang pihak lelaki tiba. Majlis berjalan dengan lancar. Semasa makan, saya dapat merasa kuih yang belum pernah saya makan sebelum ini iaitu kuih "Kelupis". Kuih tersebut dibuat dari beras pulut yang dibungkus dengan daun "Silat" . Nama sebenar daun tersebut tak tahu lah. Mereka panggil daun tu daun "Silat".

Dalam perjalanan balik kami sempat pergi ke pantai tak jauh dari rumah Dayang. Pantai tu dipangil pantai "Pimping". Kawasan pantai tu tiada orang, sunyi kerana jauh dengan kawasan penduduk. Tapi permandangannya cantik kerana nampak beberapa buah pulau di situ. Selepas bergambar kami bertolak balik. Dalam perjalanan balik kami singgah lagi di Pantai "Lok Kawi". Di situ pantainya agak ramai orang berkhelah kerana berada di tepi jalan raya. Sempat juga kami bergambar di situ.

Sampai di Kota Kinabalu, kami pergi ke jeti "Jesselton Point" . Kami pergi sana cuma untuk minum di restoran tepi laut. Selepas minum kami sempat bergambar dan terus pulang ke rumah....

Gambar saya sertakan sikit jer.....

Dayang Sedang Menunggu Untuk Sarung Cincin

dayang_tunang

Dayang Dan Tunangnya

dayang_tunang2


Majlis Potong Kek

dayang_tunang3

Pantai Pimping

Pantai Pimping2

Kak Ana dan Suaminya (Din)

pantai_pimping3

Pantai Lok Kawi

pantai_lok_kawi

Kursus Pengurusan Aset Alih Kerajaan

Pada 5/5/2008 hingga 8/5/2008 saya ada kursus pengurusan aset alih kerajaan di INTAN , sabah. nampaknya tak dapat guna internet la beberapa hari.

Nampaknya lepas kursus ni habis aset kerajaan kena alih...........

Pameran TLDM

Hari sabtu yang lepas 26/04/2008 ada pameran TLDM di Pelabuhan Lama Kota Kinabalu. Saya ada pergi kat situ dari jam 9.00 pagi sampai 2.00 ptg. Di pameran tu ada dua buah kapal perang besar dan 4 buah kapal perang kecil serta 3 buah buat boat tempur. Itu la bilangan yang saya nampak tapi bilangan sebenar tak tahu la berapa. Masa tu kita boleh masuk ke semua kapal perang yang ada kat situ. Saya dimaklumkan kapal-kapal tu baru je siap yang dibuat oleh syarikat Malaysia sendiri. Kira buatan Malaysia la. Pameran tu kira sempena penyerahan kapal kepada TLDM di Sabah. Saya masuk dalam kapal-kapal tu memang luas dan lengkap dengan kemudahan seperti di rumah. Tapi rasa macam berada dalam kilang sebab lantai , dinding dan bumbung semua besi. Sempat juga berada kat tempat Kapten. Semua dilengkapi dengan sistem komputer yang canggih. Kalau bayar RM2 kita boleh naik boat tempur yang laju ronda-ronda kawasan tu. Tapi saya tak naik sebab pergi sorang jer. Tak seronok sangat la. Sebelah petang ada pertunjukan helikopter buat pertunjukan udara. Memang best la sebab boleh tengok dengan dekat. Masa tu saya kat bumbung kapal yang besar. Dasyat sungguh aksi-aksi helkopter tu buat pertunjukan sampai rasa jantung berdebar. Dah la buat aksi yang perpusing-pusing, dekat pulak tu... risau takut tersasar kena kiter jer......

Tapi malang dan terkilan juga la hari tu sebab kamera tertinggal kat opis. Tak ada kenangan untuk dikongsi.... Cuma kenangan untuk diri sendiri jer laa sebagai pengalaman yang kira best juga lah...

Bergelap Tiada Elektrik

Dalam jam 8 malam saya masih lagi berada di pejabat, tetiba elektrik padam, apa lagi .. gelap gelita la .. meraba-raba mencari untuk tutup suis plug dan lampu dan kunci pintu. Seram juga rasanya berada sorang kat opis dalam keadaan gelap gelita. Lepas tu terus balik rumah. Kat rumah pun masih bergelap, dah la lilin pun tak ada, nasib baik ada lampu picit yang dibeli bulan lepas. Apa lagi, dah gelap nak buat apa... lepas tu saya keluar kat area rumah,.. ramai sedang berdiri ditepi-tepi jalan. Sempat berborak dengan pakcik yang lepak kat situ. Diaorang keluar sebab panas berada dalam rumah... Oleh kerana mata mengantuk saya terus je balik dan terus baring.... Dalam bilik sorang aje senang la mata pun lelap... Dalam jam 3 pagi saya tersedar sebab nyamuk banyak bermain di telinga... Saya pun bangun buka lampu baru lah kurang sikit.. nasib baik dah ada elektrik... sambung tidur lena sampai pagi...

Sambutan Hari Lahir Aku

Pada 31 Mac 2008, lepas mesyuarat kakitangan, staff kat opis ni telah rancang untuk sambut hari lahir saya. Pada tarikh sebenar hari lahir tu saya sedang berkursus. Tapi penuh juga la inbox dapat SMS ucapan hari lahir. Habis aje mesyuarat tu diaorang keluarkan kek. Tuan Iruthayaraj join sekali dengan kami sama-sama raikan. Terharu juga lah saya rasa sebab yang sebenarnya sebelum ini saya tak pernah pun buat majlis untuk sambut hari lahir. Kalau setakat dapat hadiah dan kad ucapan tu dah biasa.

Walaupun majlis tu buat biasa saja, tapi bagi saya ia amat bermakna..... TERIMA KASIH saya ucapkan kepada kawan-kawan yang buatkan majlis tu untuk saya....

Saya letak sikit jer gambar :


Kek Yang Ditempah


Buat Kenangan Sebelum Masuk Perut




Masa Untuk Membedah


Inilah Gambar Kenangan Yang Berharga

Gambar Di Pulau Langkawi

Pada 23/03/2008 hingga 25/03/2008 ada kursus Penyelenggaraan Surat, Fail Dan Rekod di Pulau Langkawi. Ada masa terluang tu sempat jalan-jalan sambil melancong. saya sertakan gambar-gambar yang sempat diambil masa jalan-jalan. Enjoy....!!!!


Belangkas



Bergambar Untuk Kenangan



Kumpulan Bot Kami

Masa Kursus Orientasi Di Sabah

Kursus ini diadakan pada 11 Mac 2008 hingga 16 Mac 2008. Sebelum ni saya dah ada masukkan gambar ni kat dalam halaman blog saya yang lain. Nak cerita sikit pasal kursus ni. Oleh kerana di Sabah ni mempunyai banyak etnik dan pelbagai budaya, oleh itu kursus ini diadakan untuk mendedahkan para peserta dari semenanjung serta Sarawak tentang maklumat-maklumat yang patut diketahui tentang Negeri Sabah ini. Ia berkaitan dengan sistem pentadbiran negeri, budaya masyarakat setempat dan bahasa negeri Sabah .

Sepanjang kursus ni memang banyak maklumat saya perolehi seperti perkataan-perkataan yang tidak patut disebut kerana boleh membawa maksud yang tidak baik. Perserta pula terdiri dari pelbagai jabatan serta pelbagai pangkat. Ini dapat membuatkan kami berkenalan di antara satu sama lain dan masih berhubung sehingga kini.

Banyak kenangan yang saya dapat sepanjang kursus tersebut. Jika diberi peluang pasti saya sertai lagi. Tetapi diberi hanya sekali bagi mereka yang baru berkhidmat di Sabah ni.

Ok lah.. saya sertakan sedikit gambar semasa kursus tersebut.


Mencuba tarian budaya



Bersedia untuk bersukan



Gotong royong



Mencuba tarian budaya



Gotong royong



Makan semasa gotong royong



Dr. Kamarudin



Untuk sukaneka



Sahara



Muzik tempatan



Majlis penutup



Keluarga angkat

Jatuh Cinta atau Jatuh Simpati ?

Jatuh yang tidak ada orang simpati ialah jatuh cinta. Sebab jatuh cinta indah, tidak macam jatuh tangga atau jatuh pokok, sakit. Cinta banyak perkara cinta. Tidak ada siapa pun yang dapat larikan diri daripada mencintai dan dicintai. Kemuncak cinta, ada orang masuk syurga kerana cinta dan tidak kurang ramai orang yang akan dihumbankan ke neraka gara-gara cinta. Cinta yang begaimana boleh bawa seseorang ke syurga dan kenapa ada yang masuk neraka lantaran kerana cinta?

Cinta, rasa yang ada dalam hati yang tidak boleh disukat-sukat. hati yang merasainya, sehingga boleh terhibur atau terseksa kerananya. Datangnya dari dua sumber yakni dari nafsu dan dari Allah.

Cinta yang diilhamkan oleh nafsu berlaku bila hati kotor, sering melakukan dosa dan tidak pula bertaubat. Sifat-sifat keji seperti sombong, ujub, riak, gila puji, hasad dengki dan lain-lain sifat jahat bersarang dalam hati tidak dikikis, maka ketika itu nafsulah yang akan jadi Tuhan dalam diri sehingga apa saja yang dilakukan mengikut arahan nafsu. termasuk dalam meletakkan cinta, ukuran yang diberi dan sebab jatuh cinta pun ikut selera nafsu.

Lelaki akan jatuh cinta pada perempuan yang mendedahkan kecantikannya hingga tubuh badan perempuan itu sudah tidak terlindung lagi pada pandangan nafsunya. Cinta diberi ialah untuk mengisi keinginan nafsu seks lelaki kepada perempuan. begitu juga wanita, jatuh cinta sebab lelaki kaya, handsome bergaya, ada jawatan dan lain-lain keistimewaan yang disenangi oleh nafsu. lantas cinta diberi dengan harapan mereka dapat tumpang kemewahan dan kesenangan hidup lelaki tersebut. Jelasnya, cinta yang datang dari nafsu ditujukan untuk kesenangan nafsu semata-mata.

Bila bertaut dua cinta yang dilahirkan oleh nafsu yang punya kepentingan masing-masing maka berlangsunglah babak-babak melahirkan rasa cinta. Dari surat menyurat, telefon, ziarah, keluar makan-makan, berdua-duaan di taman bunga, dalam keadaan saling rindu merindukan.. Ketika itu tak ada lain dalam ingatan melainkan orang yang dicintai. Sehari tak jumpa atau tidak telefon rasa berpisah setahun. Sudah tidak malu pada orang sekeliling, apa lagi pada Allah yang Maha Melihat. Lagi mereka tidak ingat dan takut. Lantaran itu mereka sanggup buat apa saja untuk membuktikan kecintaan pada pasangan masing-masing.

Hatta yang perempuan sanggup serah maruah diri konon untuk buktikan cinta pada lelaki. Yang lelaki pula rela bergolok bergadai untuk memberikan kemewahan pada perempuan sebagai bukti cinta. Akhirnya bila yang perempuan telah berbadan dua, lelaki serta merta hilang cintanya. habis manis sepah dibuang. Kalau pada lelaki pula, ada duit abang sayang, tak ada duit abang melayang. Kalau pada suami pula, isteri seorang suami disayang, bila hidup bermadu kasih pada suami

Itulah falsafah cinta nafsu yang melulu. Cintanya hanya selagi nafsu ada kepentingan. Cinta inilah yang banyak melanda orang muda yang dilambung asmara. Hingga sanggup buat apa saja, sekalipun bunuh diri, kalau kecewa dalam bercinta. Walhal sedap dan indahnya sekejap. Sakitnya lama, sakit yang paling dahsyat ialah di neraka kelak. Inilah kemuncak cinta yang paling malang dan memalukan.

Cinta nafsu kalau pun boleh bersambung sampai membina rumahtangga ia tetap akan menyeksa. Kerana suami akan cinta pada isteri selagi isteri masih muda, seksi dan manja. Yakni selagi nafsu dapat disenangkan. Bila isteri tua, kulit berkedut, tampal make-up lagi hodoh, rambut putih dan gigi pun sudah banyak gugur seperti opah, badan pun sudah kendur, maka cinta suami akan beralih pada gadis muda yang menarik. Sekaligus hilanglah cinta suami. Menderitalah isteri yang hilang perhatian suami apalagi kalau terang-terang depan mata suami kepit perempuan lain, lagilah isteri terseksa.

Begitu juga si isteri. Cintakan suami selagi suami boleh membahagiakan dan menunaikan segala keinginan nafsu. Selagi suami kasih dan sayang padanya. Andainya suami hilang kuasa, jatuh miskin, masuk penjara atau suami kahwin lagi seorang maka serta merta hilang cinta pada suami. Sebaliknya berbakul-bakul datang rasa benci pada suami yang dulu dipuja tinggi melangit. Begitu mudah cinta bertukar jadi benci. Akibatnya berlakulah pergaduhan, masam muka, kata-mengata, ungkit mengungkit, suami tidak pedulikan isteri dan isteri pun hilang hormat pada suami. Rumahtangga panas dan menunggu saat untuk ditalqinkan ke kubur perceraian. Ketika itu tak ada lagi pujuk rayu, cumbu mesra sebagaimana waktu cinta tengah membara. Maka doktor yang menulis pun dituduh merendahkan wanita, jangan marah tau.

Itulah gara-gara cinta nafsu yang sudah menyusahkan manusia di dunia lagi.

Sebaliknya cinta yang dialirkan oleh Allah ke dalam hati, itulah cinta yang benar, suci lagi murni. Cinta yang bukan diukur ikut pandangan mata, tapi ikut pandangan Allah. Ia bersebab kerana Allah dan cinta diberi pun untuk dapat keredhaan Allah. Cinta begini tiada batasannya. Tidak pula kenal jantina dan kedudukan. Dan cinta lahir hasil dari sama-sama cinta pada Allah.

Boleh berlaku pada lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan, lelaki dengan perempuan, antara murid dengan guru, suami dengan isteri, sahabat dengan sahabat, rakyat dengan pemimpin, antara umat dengan Nabinya dan yang paling tinggi antara hamba dengan Tuhannya.

Kalau berlaku antara lelaki dengan perempuan yang tidak diikat oleh tali perkahwinan, mereka tak akan memerlukan untuk berjumpa, bercakap atau melakukan apa saja yang bertentangan dengan kemahuan Allah. Cinta mereka tidak akan dicelahi oleh nafsu berahi. Sebaliknya cinta itu ialah tautan hati yang berlaku walaupun tak pernah kenal atau baru kenal tapi hati rasa sayang dan rindu. Hati sedih kalau orang yang dicintai ditimpa susah, senang kalau yang dicinta itu senang. Sanggup susah-susahkan dan korbankan diri untuk senangkan orang yang dicintai.

Cinta yang begini ada diceritakan dalam hadis, iaitu seorang lelaki yang bertemu dan berpisah dengan sahabatnya kerana Allah maka mereka akan mendapat perlindungan ‘arasy Allah di padang mahsyar nanti, hari di amana masing-masing orang mengharap sangat lindungan dari matahari yang sejengkal saja dari
kepala.

Kalau berlaku antara suami isteri maka isteri akan letak seluruh ketaatan pada suami, berkhidmat dan melayan suami tanpa jemu-jemu. Sama ada waktu suami tunjukkan sayang atau masa suami marah-marah. Sama ada suami kaya atau miskin, atau suami kahwin lagi, cinta isteri pada suami tidak belah bagi. salah satu contohnya penderitaan mengundang bahagia. Kerana cintanya pada suami datangnya dari Allah hasil dari ketaqwaan isteri. Datanglah ribut taufan, angin putting beliung melanda rumah tangga, isteri tetap memberikan cintanya yang utuh dan teguh.

Begitu juga suami, cinta pada isteri tidak kira isteri itu muda atau tua. Samada pada hatinya. Selagi isteri taat pada Allah, isteri tetap dikasihinya. Kalau dia ada empat isteri, tentulah isteri-isteri akan tertanya-tanya, pada isteri manakah yang suami paling cinta? Kalau cinta itu bersumber dari Allah, tentu isteri yang paling taqwalah yang paling layak dicintai oleh suami lebih dari isteri-isteri lain. Sebagaimana Rasulullah lebih mencintai Aisyah kerana taqwa Aisyah lebih tinggi dari istei-isteri lain. Rasulullah saw akui sendiri hanya bersama Aisyah saja, dalam satu selimut baginda pernah diberi wahyu. Tapi tidak pernah berlaku semasa baginda satu selimut dengan isteri-isteri yang lain.

Sumber cinta yang datang dari Allah akan meletakkan Allah yang paling tinggi dan utama. Bila berlaku pertembungan antara cinta Allah dengan cinta pada makhluk maka cinta Allah dimenangkan. Misalnya seorang isteri yang cinta suaminya. Tiba-tiba suami larang isteri melakukan ketaatan pada Allah dalam hal tutup aurat, walhal tutup aurat itu Allah tuntut. Maka kecintaan pada Allah itu akan mendorongnya untuk laksanakan perintah-Nya walaupun suami tidak suka ataupun terpaksa kehilangan suami. Sanggup dilakukan sebagai pengorbanan cintanya pada Allah. Sebaliknya kalau dia turut kemahuan suami ertinya kata cinta pada Allah hanya pura-pura, cintanya bukan lagi bersumberkan Allah tapi datang dari nafsu.

Cinta yang datang dari Allah menyebabkan seseorang cukup takut untuk melanggar perintah Allah yang kecil, apalagi yang besar, lagi dia gerun. Seorang yang sudah dapat mencintai Allah, cinta yang lain-lain jadi kecil dan rendah padanya.

Sejarah menceritakan kisah cinta Zulaikha terhadap Nabi Yusuf. Sewaktu Zulaikha dibelenggu oleh cinta nafsu yang berkobar-kobar pada Nabi Yusuf, dia sanggup hendak menduakan suaminya, seorang menteri. Bila Nabi Yusuf menolak keinginannya, ditariknya baju Nabi Yusuf hingga terkoyak. Akibat dari peristiwa itu Nabi Yusuf masuk penjara. Tinggallah Zulaikha memendam rindu cintanya kepada Yusuf.

Penderitaan cinta yang ditanggung oleh Zulaikha menyebabkan dia bertukar dari seorang perempuan cantik menjadi perempuan tua yang hodoh. Matanya buta kerana banyak menangis terkenangkan Yusuf, hartanya habis dibahagi-bahagikan kerana Yusuf. Sehingga datanglah belas kasihan dari Allah terhadapnya. Lalu Allah mewahyukan agar Nabi Yusuf mengahwini Zulaikha setelah Allah kembalikan penglihatan, kemudaan dan kecantikannya seperti di zaman gadisnya. Peliknya, bila Zulaikha mengenal Allah, datanglah cintanya pada Allah sehingga masanya dihabiskan untuk bermunajat dengan Allah dalam sembahyang dan zikir wirid sehingga terlupa dia hendak melayan kemahuan suaminya Yusuf yang berhajat kepadanya. terpaksa Nabi Yusuf menunggu Zulaikha menghabiskan sembahyangnya, hingga hampir hilang kesabaran Nabi Yusuf lantas ditariknya baju Zulaikha sehingga koyak; sebagaimana Zilaikha pernah menarik baju Nabi Yusuf seketika dulu.

Begitulah betapa cinta yang dulunya datang dari nafsu dapat dipadamkan bila dia kenal dan cinta pada Allah. Cinta Allah ialah taraf cinta yang tinggi. Kemuncak cinta ini ialah pertemuan yang indah dan penuh rindu di syurga yang dipenuhi dengan kenikmatan.

Cinta pada Allah akan lahir bagi orang sudah cukup kenal akan Allah. Kerana cinta lahir bersebab. kalau wanita cinta pada lelaki kerana kayanya, baiknya, tampan dan sebagainya dan lelaki cinta wanita kerana cantik, baik, lemah lembut dan sebagainya maka bagi mereka yang berakal akan rasa lebih patut dicurahkan rasa cinta pada Allah kerana segala kenikmatan itu datangnya dari Allah.

Ibu bapa, suami, isteri, sahabat handai dan siapa saja yang mengasihi dan mencintai kita, hakikatnya itu semuanya datang dari Allah. Kebaikan, kemewahan dan kecintaan yang diberikan itupun atas rahmat dan kasihan belas Allah pada kita. Sehingga Allah izinkan makhluknya yang lainnya cinta pada kita. Walhal Allah boleh bila-bila masa menarik balik rasa itu dari hati orang-orang tadi kalau Allah mahu.

Allah yang menciptakan kita makhluk-Nya, kemudian diberinya kita berbagai-bagai nikmat seperti sihat, gembira, dan macam-macam lagi. Samada masa kita ingat pada-Nya ataupun masa kita lalai, tetap diberi-Nya nikmat-nikmat itu. Begitulah, kebaikan Allah pada kita terlalu banyak sebagaimana firman-Nya: yang bermaksud:

“Kalau kamu hendak menghitung nikmat-nikmat Allah, nescaya kamu tak terhitung.”

Besar sungguh jasa Allah dari menciptakan, menghidupkan dan memberi rezeki, suami, isteri, rumah dan macam-macam lagi yang dengannya kita boleh lalui kehidupan dengan aman bahagia. Alangkah biadapnya kita kalau segala pemberian Allah itu kita ambil tapi lupa untuk ucapkan terimakasih, lupa pada yang memberi. Walhal, Allah boleh saja menyusah dan menyenangkan kita dengan kehendaknya.

Oleh itu orang yang betul kenal dan beradab, dia malu pada Allah. malah kerana malunya itu dia tidak nampak yang lain lebih hebat dari Allah. Cintanya tertumpu pada Allah, dan penyerahan diri pada Allah sungguh-sungguh. Setiap saat menanggung rindu lalu masanya dihabiskan untuk berbisik-bisik dengan kekasihnya. Sehingga kerana terlalu mendalam cinta pada Tuhan ada hamba Allah yang berkata, “Wahai Tuhan, aku mencintai Engkau bukan kerana takutkan neraka-Mu. tapi kerana Zat-Mu, ya Allah. Aku rela masuk neraka kalau itulah kemahuan-Mu.”

Itulah rintihan hati seorang wali perempuan Rabiatul Adawiyah dalam munajatnya dengan Allah. Dia menyatakan dua cinta tidak boleh duduk dalam satu hati. Bila cinta Allah sudah penuh dalam hatinya, maka tidak ada tempat lagi untuk cinta selain dari itu.

Ada orang mangatakan: “jika kau berikan hatimu ataupun cintamu pada manusia nescaya dia akan merobek-robekkannya. tapi kalau hati yang pecah itu diberikan kepada Allah nescaya dicantum-cantumkan-Nya. Ertinya cinta dengan Allah pasti berbalas. Dan Allah tidak membiarkan orang yang dicintai-Nya menderita di akhirat.”

Jadi seorang yang bijak dan beradab akan meletakkan kecintaan yang besar pada Allah, pada Rasulullah dan barulah pada makhluk-makhluk lain di samping-Nya. Itulah perletakan cinta yang betul dan menguntungkan di dunia dan juga di akhirat. Itulah dia cinta kita pada Allah swt yang patut kita letakkan.

Ke Tuaran Dan Kota Belud

Di Bandar Tuaran. Kat pasar ikan.

Hari Yang Ke 9 Di Sabah

Hari ni hari yang ke-9 aku berada di Sabah. Aku cuma nak kongsi cerita apa yang berlaku pagi tadi, bila aku tersedar bagi tadi aku rasa badan aku sejuk, dan badan aku terasa basah. Bila aku sentuh tilam aku, separuh darinya sudah basah. Aku hairan. Bila aku tengok sekeliling bilik aku nampak ok jer. Emmm.. aku pun terfikir juga... adakah aku terkencing waktu malam.. tapi bila aku sentuh seluar aku tak la basah pulak. Terasa hairan pulak. Aku terfikir sejanak. Aku cuba angkat tilam aku, dan aku dapati tiada apa-apa yang nampak asing. Kemudian aku pun bangun dan ingin ke bilik air. Bila aku buka pintu bilik aje aku nampak air penuh di depan bilik aku. Isk terkejut juga masa tu. Dalam hati aku mesti air dari bilik mandi yang melimpah. Bila aku ke bilik mandi tak pulak ada kesan-kesan limpahan air atau paip bocor. lagi la kau pelik. bayangkan semua lantai dari ruang tamu hingga ke dapur dipenuhi air. macam musim banjir. kalau banjir betul ok la juga tapi aku tinggal kat tingkat 1, tak kan air banjir boleh sampai ke tingkat 1. Aku pun cuba la selidik ke seluruh rumah.Bila aku menjejaki ke ruangan dapur, air sedalam atas buku lali. kat dapur baru aku tahu apa puncanya. Rupa-rupanya paip sinki bocor, dan sinki pula tersumbat. Bila air sinki penuh terus mlipah ke lantai. saluran air di lantai dapur pun tersumbat maka mengalir la air ke seluruh rungan rumah sewa aku tu. Isk..isk... macam mana aku nak buat. Aku ambil penyapu dan tolak air sikit demi sedikit ke araah bilik mandi tapi agak susah sebab rungan rumah banyak petak dan lantai tak sama rata. Oleh kerana aku belum solat subuh, aku terus mandi dan solat subuh dahulu. Kemudian aku gosok baju dan terus jer pergi kerja. Aku harap kawan serumah dapat setle kan semua sebab dia kerja jam 10 pagi. Rupa-rupanya bilik aku nampak ok masa aku bangun sebab air terus masuk ikut bawah tikar getah dan ada kebocoran tikar di bahagian bawah tilam aku. Patut la tilam basah tapi tak nampak ada air. Itulah kisah yang pelik buat aku pagi tadi.

Pengenalan Pertama

Aku Nazri, tapi di kampungku orang panggil "Yie". Sebelum aku cerita panjang lebar pasal penghijrahan aku ke Sabah terlebih dahulu aku ingin menceritakan sedikit sebanyak latar belakang aku. Bagi mereka yang telah mengenaliku belum tentu mengetahui lebih lanjut tetang latar belakangku. Aku dilahirkan di sebuah kampung yang kekadang oarang tersilap tafsir di mana aku dilahirkan, kerana nama kampung tu Kg. Padang Siam, kalau tersilap dengar boleh jadi sempadan siam. Terletak di daerah Pasir Puteh, salah satu daerah yang ada nama "pasir" di Negeri Kelantan.

Tahun 2008 Hijrah ke Sabah

7hb Januari 2008 adalah tarikh yang dinanti-nantikan selama ni. Tarikh tersebut telah dipilih untuk bertukar dari ibu pejabat Kuala Lumpur ke pejabat cawangan di negeri sabah. Pada tarikh tersebut juga saya telah terbang ke Sabah dan terus lapor diri pada hari itu juga. Saya telah wujudkan satu blog khusus selama saya berada di Sabah. Halaman blog tersebut ialah http://NazriSabah.blogspot.com

Followers

Powered by Blogger.